Fotografi

Panduan Penjagaan DSLR: 10 Tip Penting untuk Kamera Digital Anda

Kenapa beli barang mahal-mahal jika tidak mahu menjaganya? Itulah yang selalu dipesan oleh mak setiap kali saya membeli barang berharga RM1,000 (kadangkala RM50 ke atas pun sudah dianggap terlalu mahal). Senario ini pasti berlaku pada setiap seorang daripada kita yang perlu mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan kamera digital sama ada jenis kompak, DSLR, atau kamera profesional lain. Aset berharga ini seharusnya dilindungi dan mendapat penjagaan sewajarnya agar kita tidak perlu berbelanja lagi untuk kos pembaikan atau penyelenggaraan semula. Berikut merupakan 10 tip penjagaan kamera digital yang boleh anda ikuti atau paling tidak melakukan penjagaan asas untuknya:

1. Beg Kamera Terbaik

Lazimnya, kamera digital didatangkan dengan bekas simpanan atau beg kecil untuk kita menyimpan kamera tersebut. Beg ini kadangkala tidak begitu menepati cuaca persekitaran seperti hujan, panas, atau untuk anda bawa ketika membuat aktiviti-aktiviti lasak. Oleh itu, dapatkan bekas simpanan atau beg kamera terbaik di pasaran yang menawarkan ciri tahan lasak seperti kalis air, tahan impak, kalis habuk, dan sebagainya. Ia bukan sahaja boleh melindungi kamera digital anda, malah menjaga peralatannya juga.

2. Gunakan Filter UV

Cara ini baik untuk melindungi lensa kamera digital anda. Gunakan filter seperti Ultra Violet (UV) atau Skylight untuk melindunginya. Lagipun, lebih murah untuk mendapatkan filter berbanding anda perlu membeli lensa baru jika ia rosak.

3. Pelindung LCD

Turut membeli aksesori tambahan seperti pelindung skrin LCD untuk kamera digital anda. Terdapat pelbagai jenis yang boleh didapati di pasaran seperti jenis plastik, boleh terbuka, atau jenis berpelekat.

4. Penjagaan Dalaman

Seperti mana bahagian luaran, bahagian dalaman kamera juga perlu dilindungi lebih-lebih lagi ketika anda berada di kawasan lembap atau berhabuk di mana ia mudah memasuki bahagian dalam kamera anda. Selain bekas (casing) khas, idea mudah untuk melindungi kamera digital adalah dengan menggunakan beg plastik. Pastikan ia diikat dengan kemas pada kamera digital menggunakan gelang getah atau sebagainya (murah dan praktikal).

5. Bersihkan Tangan

Pastikan tangan anda sentiasa bersih untuk mengurangkan risiko lensa kotor, bercalar, atau anda mungkin memindahkan kekotoran daripada tangan ke bahagian dalam lensa. Jika anda berada di pantai, pastikan tangan dibasuh terlebih dahulu sebelum menggunakan kamera. Air masin tidak sesuai untuk kamera digital.

6. Bersihkan dengan Cermat

Manja kamera digital ini. Ia perlu dibersihkan dengan cermat dan perlahan-lahan seperti anda sedang membelai kulit bayi. Gunakan kain lembut dan bersih untuk membersihkan lensa atau bahagian dalam kamera. Lebih baik lagi, keluarkan sedikit wang untuk mendapatkan kit pembersihan kamera digital di pasaran.

7. Jauhkan daripada Panas

Kita pun tidak tahan panas, jadi jangan menyiksa kamera digital kita dengan menempatkannya terlalu dekat dengan kepanasan. Gunakan kain lembap atau tuala berwarna cerah untuk melindunginya daripada sinaran matahari ketika kita sedang merakam gambar di tengah panas. Jangan gunakan warna gelap kerana ia hanya akan menyerap panas.

8. Jika Cuaca Sejuk

Dalam cuaca sejuk pula, perkara yang boleh anda buat untuk melindungi kamera anda ialah dengan memastikan ia panas dengan meletakkannya di bawah jaket atau menggunakan suhu badan untuk memanaskannya (jangan tempatkan pada api). Jika pemeluapan terjadi, tanggalkan bateri dan kad memori serta biarkan ia terbuka sehingga kamera betul-betul kering.

9. Servis Berkala

Kamera digital, terutama kamera DSLR dan profesional, seharusnya diservis secara berkala. Servis ini dapat membantu mengesan masalah pada kamera anda dan memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik. Servislah di tempat pengeluar kamera digital yang akan dijalankan oleh tenaga profesional.

10. Storan

Apabila menyimpan kamera digital, sebaiknya jauhkan daripada sebarang bentuk magnet. Magnet akan memberi kesan kepada litar kamera digital anda. Bateri juga perlu ditanggalkan sekiranya anda ingin menyimpannya untuk jangka masa lama. Jangan lupa untuk menyimpan kad memori, lensa, dan bahagian-bahagian kecil kamera dengan baik. Ia juga memerlukan perhatian anda.

Shares:
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *