USIA dan prestasi kenderaan bergantung kepada penjagaan serta penyelenggaraan pemiliknya. Sikap ambil mudah terhadap aspek ini merugikan kita, kerana kenderaan bukan hanya untuk kegunaan harian, tetapi juga menjamin keselamatan kita, keluarga, dan pengguna lain di jalan raya. Penjagaan rapi dan teratur membolehkan kita memandu dalam keadaan selesa, walaupun untuk perjalanan jauh.

Sama ada anda membeli kereta terpakai atau baru, aspek penting yang perlu diambil berat adalah prestasi serta aspek keselamatannya. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk melakukan penyelenggaraan berkala, sama ada di pusat servis atau sendiri jika berkemahiran. Rutin penjagaan berkala membolehkan kita mengetahui keadaan kenderaan, termasuk mengesan bahagian yang haus, rosak, dan perlu diganti.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh dilakukan:

1. Panaskan Enjin: Panaskan enjin selama 10 minit sebelum memulakan perjalanan. Ini membantu dalam memastikan enjin berfungsi dengan baik.

2. Dengar Bunyi Enjin: Biasakan diri mendengar bunyi enjin. Ia melatih anda untuk mengesan bunyi ganjil, membantu mengenal pasti masalah pada enjin.

3. Periksa Sistem Brek: Setiap minggu, luangkan masa memeriksa bahagian keselamatan kenderaan seperti sistem brek. Uji pelapik brek untuk memastikan ia tidak haus.

4. Pemeriksaan Cecair Enjin: Semak sistem penyaman udara serta cecair pada enjin seperti minyak pelincir, air radiator, minyak brek, dan pencuci cermin.

5. Penjagaan Cat Kenderaan: Untuk memastikan cat kenderaan tidak pudar, basuh dan kilatkan kenderaan secara berkala.

6. Periksa Tekanan Tayar: Setiap bulan, periksa tekanan udara pada tayar anda. Tekanan yang betul memastikan kenderaan dipandu stabil dan mengurangkan risiko kebocoran.

7. Ganti Minyak Pelincir: Ganti minyak pelincir kereta setiap tiga bulan atau selepas setiap 5,000 kilometer perjalanan. Jika menggunakan minyak pelincir yang mahal, tukar penapis minyak setiap 5,000 kilometer, walaupun minyak masih boleh digunakan.

8. Periksa Sistem Gantung: Setiap tahun, periksa sistem gantungan (suspensi) kenderaan untuk memastikan ia dalam keadaan baik. Kerosakan boleh dirasai pemandu, terutama ketika membawa penumpang.

9. Penyelarasan dan Imbangan Tayar: Pastikan penjajaran (alignment) dan imbangan tayar berada dalam keadaan baik.

10. Periksa Minyak Kotak Gear: Semak minyak pada kotak gear dan tukar dengan yang baru, terutamanya bagi kenderaan menggunakan gear manual.

11. Tebal Bunga Tayar: Nilai ketebalan bunga tayar, sama ada perlu ditukar dengan yang baru atau tidak.

Panduan di atas adalah asas penyelenggaraan yang boleh anda lakukan sendiri. Ia memberi maklumat kepada pemilik dan pengguna kenderaan agar sentiasa mengambil berat terhadap status kenderaan mereka. Penyelenggaraan berterusan adalah langkah bijak untuk menjaga usia kenderaan, memastikan ia sentiasa bertenaga dan selamat di jalan raya. Ini juga memberi kelebihan apabila anda ingin menjual kereta tersebut.

Shares:
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *